Rayuan pendakwaan 18 bekas penuntut UPNM pada 14 Mei


Rayuan pendakwaan 18 bekas penuntut UPNM pada 14 Mei
Peguam Hisyam Teh Poh Teik, yang mewakili salah seorang responden ketika hadir di Mahkamah Rayuan di sini, semalam bagi pendengaran permohonan pendakwaan untuk memfailkan petisyen rayuan di luar tempoh masa berkaitan kes bunuh tanpa niat, Pegawai Kadet Laut UPNM Zulfarhan Osman Zulkarnain. FOTO - FAIZ ALIF ZUBIR/PEMBERITA - NORLIZAH
Oleh NORLIZAH ABAS
18 April 2024, 8:35 am

PUTRAJAYA: Rayuan pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mengenakan hukuman penjara 18 tahun terhadap enam bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) kerana menyebabkan kematian Pegawai Kadet Laut universiti itu, Zulfarhan Osman Zulkarnain, akan didengar oleh Mahkamah Rayuan pada 14 Mei ini.

Pendengaran rayuan selama tiga hari berturut-turut itu dimaklumkan kepada pihak media oleh peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili tiga daripada enam responden selepas sebutan kes semalam.

Keenam-enamnya ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd. Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd. Ali.

Kesemuanya terlepas hukuman mati setelah Mahkamah Tinggi pada 2021 membebaskan mereka daripada tuduhan membunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan mengubah sabitan kepada Seksyen 304(a) kanun sama.

Pada hari yang sama, Mahkamah Rayuan juga akan mendengar rayuan pendakwa raya yang tidak berpuas hati terhadap keputusan Mahkamah Tinggi ke atas 12 yang lain.

Kesemua 12 bekas penuntut UPM itu serta lima daripada enam individu ((kecuali Mohamad Shobirin) dihukum penjara tiga tahun kerana mencederakan Zulfarhan, 21. Hukuman berkuat kuasa serentak. Kesemuanya kini berusia 28 tahun, ketika kejadian mereka berumur 21 tahun.


Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd. Dusuki Mokhtar bersama-sama Datin Asmah Musa memohon lanjutan masa untuk memfailkan petisyen rayuan di luar tempoh yang ditetapkan.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Hadhariah Syed Ismail yang bersidang bersama-sama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Azmi Ariffin membenarkan permohonan itu selepas kesemua responden tidak membantahnya.

Pada 2 November 2021, Hakim Datuk Azman Abdullah (kini hakim Mahkamah Rayuan) berpuas hati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes tanpa keraguan munasabah bahawa lima mereka dengan niat bersama menyebabkan kematian Zulfarhan manakala tertuduh keenam (Abdoul Hakeem) bersubahat menyebabkan kematiannya tanpa niat.

Kesalahan menyebabkan kematian Zulfarhan tanpa niat dilakukan di bilik di blok penginapan Asrama Jebat, UPNM antara pukul 4.45 pagi dan pukul 5.45 pagi, 22 Mei 2017.

Perbuatan mencederakan Zulfarhan pula dilakukan di dalam bilik blok penginapan Asrama Jebat universiti itu di Kem Perdana, Sungai Besi antara pukul 2.30 pagi dan pukul 5.30 pagi 21 Mei 2017.

Hakim Azman berpuas hati kecederaan akibat 90 tekapan seterika wap pada bahagian seluruh badan menyebabkan kematian Zulfarhan. – UTUSAN

Ulasan