Tindakan SPRM baik untuk pembersihan dalam pentadbiran





Tindakan SPRM baik untuk pembersihan dalam pentadbiran
MOHD. SHUKRI RAMLI
Oleh MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
30 April 2024, 7:45 am

KANGAR: Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli menerima dengan seadanya tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menyiasat salah laku atau sebarang penyelewe­ngan jika berlaku dalam pentadbiran kerajaan negeri ini

Menurut beliau, perkara ter­sebut adalah proses biasa oleh SPRM dan bagi beliau ia merupakan satu yang baik untuk semak dan imbang dalam pentadbiran kerajaan negeri ini.

Kata Pesuruhjaya Pas negeri itu, pihaknya sentiasa terbuka untuk sebarang siasatan berke­naan dan menerima dengan positif.

“Kita terima seadanya. Saya ingat itu juga untuk membersihkan pentadbiran saya lah, selepas lebih setahun saya mentadbir. Kita terima dengan positif.

“Saya tidak khuatir, dari segi teknikal sikit-sikit itu mungkin ada kesilapan. Ini saya ingat SPRM patut bagi teguran lah, bukan ambil tindakan. Tapi jika berlaku penyelewengan, kena ambil tindakan, kita terbuka,” katanya.

Minggu lalu, media melaporkan mengenai penahanan reman anak kepada Menteri Besar Perlis bersama seorang pegawai kanan kerajaan negeri dan empat individu lain bagi membantu siasatan berhubung kes berhubung kes pemalsuan dokumen tuntutan palsu.


Kesemua mereka bagaimanapun telah dibebaskan dengan jaminan SPRM selepas tiga hari ditahan reman.

Semalam media melaporkan, SPRM menyiasat seorang pemimpin kanan di utara semenanjung kerana disyaki me­lantik beberapa syarikat yang mempunyai kepentingan de­ngan anaknya membabitkan peruntukan bernilai kira-kira RM300,000.

Satu sumber memberitahu, pemimpin tersebut disyaki me­­lantik beberapa syarikat bagi kerja-kerja seperti membaik pulih dan melakukan pe­nyelenggaraan jalan yang melibatkan peruntukan Pejabat Menteri Besar.

Kata sumber itu, projek-projek tersebut juga dipercayai dimonopoli oleh anak pemimpin tersebut dengan menggunakan beberapa lesen syarikat-syarikat di bawah kawalannya.

Sementara itu, bercakap kepada Utusan Malaysia, Mursyi­dul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, kes berkenaan baru melalui proses siasatan dan perkara itu perlu diserah pada pihak berkuasa menjalankan siasatan.

“Jika pihak lawan mahu bermain isu berkenaan, itu dilihat tidak memberi kesanlah,” katanya. – UTUSAN

Ulasan