395,870 calon SPM 2023 terima keputusan hari ini





395,870 calon SPM 2023 terima keputusan hari ini
Hari ini keputusan SPM 2023 dikeluarkan. - Gambar hiasan
Oleh MEDIA MULIA
27 Mei 2024, 7:30 am

PETALING JAYA: Seramai 395,870 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 akan menerima keputusan peperiksaan hari ini.

Keputusan boleh diperoleh melalui sekolah masing-masing, pos bagi calon persendirian dan secara mesej pesanan ringkas atau secara dalam talian.

Bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, keputusan pepe­riksaan SPM penting untuk mengukur sama ada sistem pendidikan yang dilaksanakan itu boleh diteruskan.

Katanya, ini kerana negara mengalami pandemik Covid-19 sebelum ini yang menyaksikan kebanyakan pengajaran dan pem­belajaran (P&P) dilaksanakan secara digitalisasi.

“Jadi, kita boleh lihat kesan kepada calon. Kalau keputusan meningkat, apa yang dilaksanakan kepada calon-calon itu baik dan boleh diteruskan terutamanya dalam teknologi maklumat (ICT), dan digital dalam P&P,” katanya.

Kementerian Pendidikan (KPM) sebelum ini memaklumkan, calon SPM 2023 boleh mendapatkan keputusan menerusi sekolah masing-masing, pos bagi calon persendirian dan juga secara mesej pesanan ringkas atau secara dalam talian.


Calon sekolah dan calon persendirian juga boleh membuat semakan keputusan secara dalam talian di pautan myresultspm.moe.gov.my untuk mendapatkan slip ke­putusan pe­periksaan bermula pukul 10 pagi pada 27 Mei sehingga pukul 6 petang 2 Jun ini.

Calon juga boleh mendapatkan keputusan secara sistem pesanan ringkas (SMS). Untuk mendapatkan ringkasan keputusan peperiksaan SPM Tahun 2023 dengan menaip SPMNoKPAngkaGiliran dan hantar ke 15888.

Mengulas lanjut, Alimuddin berkata, calon SPM diharap berusaha melanjutkan pelajaran sama ada di peringkat diploma, matrikulasi mahupun sijil-sijil pengkhususan yang ditawarkan di pengajian tinggi.

Katanya, kini merupakan masa yang sesuai untuk mereka melanjutkan pelajaran kerana usia masih muda selain tiada tanggungjawab.

“Bagi yang mendapat keputusan tidak cemerlang, jangan ingat ini satu pengakhiran kepada mereka, tetapi mereka boleh mengambil peperiksaan ula­ngan,”

Dalam pada itu, Setiausaha Kongres Kesatuan Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (Kongres), Mohd. Azizee Hasan berkata, calon disaran menerima keputusan dengan hati terbuka dan reda serta syukur atas keputusan yang diperoleh.

KEPUTUSAN

Katanya, anak-anak juga boleh menjadikan keputusan itu nanti sebagai pembakar semangat untuk cemerlang lagi di peringkat universiti dan pada masa sama menjadi titik tolak berusaha dengan lebih gigih lagi bagi yang kurang berjaya.

“Jadikan SPM sebagai batu loncatan untuk mencapai kejayaan pada masa hadapan serta tidak menganggap SPM sebagai penamat segala- galanya.

“Kongres ingin merakamkan ucapan tahniah kepada mereka yang berjaya serta terus usaha lagi bagi yang belum berjaya.

“Kongres juga ingin mera­kamkan terima kasih kepada semua guru-guru SPM dan sekolah yang telah bertungkus-lumus memastikan kecemerlangan murid-murid di dalam SPM,” katanya.

Mohd. Azizee berkata, Kongres turut menggesa murid-murid dan ibu bapa SPM 2023 menghargai jasa para guru dan sekolah yang telah berkorban untuk kejayaan anak- anak mereka.

“Jadikan kejayaan adalah kejayaan bersama dan kejayaan semua pihak iaitu murid ibubapa dan sekolah,” kata beliau. – UTUSAN

Ulasan