Cadang gaji, elaun ADUN Negeri Sembilan dinaikkan




Cadang gaji, elaun ADUN Negeri Sembilan dinaikkan
SUHAIMIZAN Bizar (kiri) dan Mohd. Fairuz sewaktu berucap pada sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Diraja pada hari ketiga Persidangan Pertama (Perasmian) Penggal Kedua, DUN Negeri Sembilan hari ini.
Oleh BADRUL HAFIZAN MAT ISA
8 Mei 2024, 5:54 pm


SEREMBAN: Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan hari ini beberapa wakil rakyat membangkitkan soal gaji dan elaun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri ini dikaji dan dinaikkan.

Mengulas mengenainya, Suhaimizan Bizar (BN-Gemencheh) berkata, kerajaan negeri perlu menyelesaikan isu tuntutan kepada kerajaan Persekutuan bagi bayaran premium lot tanah di Kem Syed Sirajuddin, Gemas, Tampin.

Katanya, perkara berkenaan jika dapat diselesaikan akan memberikan kesan besar kepada kewangan negeri sekali gus meningkatkan pelbagai bantuan dan inisiatif kerajaan termasuk gaji dan elaun kakitangan kerajaan negeri.

“Setidak-tidaknya dapat menaikkan gaji ADUN, gaji ADUN Negeri Sembilan antara yang terendah berbanding negeri-negeri lain,” katanya sewaktu berucap pada sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Diraja pada hari ketiga Persidangan Pertama (Perasmian) Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Yang Ke-15 hari ini.

Perkara berkenaan turut disokong oleh Datuk Zaifulbahri Idris (BN-Chembong).

“Ramai yang mencadangkan, jadi saya menyokong supaya dikaji untuk gaji dan elaun wakil rakyat ini dinaikkan,” katanya.


Bagi Mohd. Fairuz Mohd. Isa (PN-Serting) pula, kenaikkan gaji ADUN tersebut wajar apatah lagi kepada wakil rakyat pembangkang di negeri ini yang tidak menerima sebarang peruntukan.

“Kalau boleh menaikkan gaji wakil rakyat, saya menyokong Gemencheh yang mengatakan gaji wakil rakyat DUN Negeri Sembilan antara yang terendah, apatah lagi kami ADUN pembangkang yang tidak mendapat peruntukan. Itulah gaji itulah itulah juga peruntukan bagi kami kepada rakyat dan kawasan DUN kami.

“Realitinya hari ini dapat gaji, esok duit habis dengan satu pertiga digunakan untuk pusat khidmat DUN, satu pertiga bantuan kepada rakyat dan satu pertiga untuk kegunaan sendiri, saya harap perkara ini dapat perhatian oleh Menteri Besar,” menurutnya.-UTUSAN.

Ulasan