Isu Titah Adendum terus dedah kemelut dalam kerajaan
May 3, 2024
KUALA LUMPUR: Pelbagai persoalan teras melibatkan antaranya integriti, kejujuran dan ketelusan kerajaan serta kedudukan dan maruah Raja-raja Melayu susulan kegagalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz memfailkan afidavit di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, semalam.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata demikian susulan kegagalan menteri itu memfailkan afidavit di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam bagi ‘membetulkan fakta’ yang didakwanya tidak tepat seperti disebut oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkait isu Titah Adendum Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dalam kes pengampunan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menimbulkan pelbagai persoalan teras melibatkan antaranya integriti, kejujuran dan ketelusan kerajaan serta kedudukan dan maruah Raja-raja Melayu.
Katanya, tanpa merujuk kepada alasan penghakiman ketika menolak permohonan tersebut, PAS percaya percanggahan ‘fakta’ antara dua orang menteri dalam kerajaan yang sama sehingga ia perlu ‘diperbetulkan’ melalui tindakan undang-undang berkait bukan sahaja satu kes besar yang mendapat perhatian dunia, tetapi juga titah Yang di-Pertuan Agong, memberi gambaran sangat buruk tentang keutuhan serta kerukunan kepimpinan kerajaan, selain mendedahkan sikap sebenar kerajaan berhubung kedudukan dan keutamaan perintah seorang ketua negara.
“Keadaan ini diburukkan lagi oleh beberapa kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri yang seolah-olah mahu berlepas tangan dan berdolak-dalik untuk tidak menjawab atau ‘terbabit’ dengan isu berkenaan secara tuntas dan muktamad, terutamanya berkait persoalan kewujudan Titah Adendum yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara beliau di rumah sebagai sebahagian daripada pengampunan yang diterimanya,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, isu itu merupakan perkara pokok yang memaksa bekas Perdana Menteri itu memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 1 April dengan menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan, Menteri Undang-undang, Ketua Pengarah Hal Ehwal Undang-undang dan kerajaan sendiri sebagai responden bagi menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum bertarikh 29 Januari 2024 itu.
“Oleh sebab kewujudan Titah Adendum tersebut sangat berkait dengan kesejahteraan dan kemaslahatan diri beliau sebagai seorang manusia dan juga rakyat Malaysia, PAS beranggapan kegagalan kerajaan bersikap jujur dan telus dalam isu asas seperti ini tidak boleh diterima sama sekali, malah boleh disifatkan sebagai perbuatan yang zalim dan melampau batas,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu.
Dalam pada itu, ujarnya PAS juga mendapati tindakan Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden Umno Zahid memfailkan afidavit sokongan terhadap permohonan semakan kehakiman Najib juga sumbang dan pelik dari beberapa sudut.
Tambah beliau, sebagai anggota Jemaah Menteri tentulah tindakannya itu akan mengheret kerajaan ke dalam krisis kepimpinan dan juga perlembagaan.
Ini, ujarnya kerana ia jelas menolak dan menyokong cabaran terhadap keputusan kerajaan sendiri, terutama sekali apabila Zahid turut mendakwa bahawa anggota kerajaan mengetahui tentang kewujudan Titah Adendum tersebut sedangkan ia dinafikan oleh menteri yang lain atau paling tidak membisu tentangnya.
Kedua, katanya sebagai ketua parti, PAS juga berasa hairan mengapa Zahid perlu menunggu begitu lama, iaitu sehingga 9 April, untuk membuat ‘pendedahan’ itu dengan memfailkan afidavit menyokong permohonan semakan kehakiman Najib sebelum itu sedangkan menurut dakwaan beliau Tengku Zafrul memaklumkan kepadanya tentang kewujudan Titah Adendum tersebut pada 29 Januari lagi.
“Dalam kekusutan yang memberi kesan besar ke atas imej dan keutuhan kerajaan susulan isu ini, PAS percaya kerajaan perlu mengambil tanggungjawab untuk menjelaskan perkara sebenar, selain mengambil langkah perlu dan bermaruah untuk membetulkan keadaan kerana taruhannya sangat besar.
“Ia bukan sahaja melibatkan kesejahteraan diri seorang individu, malah lebih penting ialah kemaslahatan negara dan rakyat serta keutuhan sistem kenegaraan kita yang tidak boleh dibiarkan terus tertekan dan tercabar oleh kelemahan dan kegagalan kerajaan serta kepimpinannya,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 3/5/2024
Ulasan
Catat Ulasan