Hukum kongsi gambar mangsa kemalangan di media sosial
October 1, 2024
Soalan:
Sudah menjadi biasa akhir-akhir ini orang kongsikan gambar kemalangan yang menampakkan mangsanya sama ada mangsa yang cedera atau yang telah mati. Apakah ia dibolehkan dalam Islam?
Jawapan:
Sejak akhir-akhir ini perlakuan menyebar dan berkongsi gambar-gambar mangsa kemalangan sama ada yang masih hidup atau yang sudah meninggalkan dunia dalam keadaan mengerikan atau terbuka aurat menjadi satu kebiasaan di media sosial.
Manusia hari ini tanpa rasa berdosa dan bersalah berebut menyebarkannya secepat mungkin dan lebih ramai lagi yang turut berkongsikannya.
Adakalanya gambar menunjukkan mangsa dalam keadaan ngeri seperti terkeluar lidah atau matanya atau isi perutnya dan adakalanya gambar yang menampakkan aurat mangsa yang terlibat. Semua ini adalah satu keaiban yang tidak sepatutnya disebar-sebarkan.
Hukum perbuatan menyebarkan dan berkongsi gambar seperti ini kepada kawan-kawan dan orang ramai adalah haram dan dan keji dan jadilah orang-orang yang melakukannya itu sebagai seorang fasiq sekalipun disebarkan gambar-gambar tersebut kerana suka-suka atau kerana tugas seperti pemberita atau jurugambar.
Islam mewajibkan atas siapa yang terlihat suatu keaiban pada orang Islam yang lain supaya mengalihkan pandangan atau memejamkan matanya dan jika terpandang tanpa sengaja, maka wajib dirahsiakannya.
Abu Hurairah r.a. berkata Rasulullah sollallahu alaihi wasallam telah bersabda:
وَمَنْ سَتَرَ مُسْلِمًا سَتَرَهُ اللَّهُ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ
Ertinya: “Barangsiapa menutup keaiban seorang Islam yang lain maka Allah akan menutup keaibannya di dunia dan di akhirat.” (Hadis riwayat Muslim dan Ahmad dan Abu Daud dan At-Tirmizi dan Ibnu Majah dan An-Nasaie)
Dan pada hadis yang lain Rasulullah sollallahu alaihi wasallam bersabda:
لَا يَسْتُرُ عَبْدٌ عَبْدًا فِي الدُّنْيَا، إِلَّا سَتَرَهُ اللَّهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ
Ertinya: “Tiada seorang yang menutup aib seorang yang lain di dunia melainkan Allah akan menutup pula aibnya pada hari kiamat.” (Hadis riwayat Muslim)
Berkata Imam Al-Hafiz Ibnu Hajar:
قوله ” ومن ستر مسلما ” أي رآه على قبيح فلم يظهره ، أي للناس
Ertinya: “Maksud ‘siapa yang menutup aib seorang Islam’ ialah apabila dia ternampak seorang Islam atas satu keadaan atau kelakuan yang tidak elok maka dia tidak menyebarkannya kepada orang ramai.” (Fathul Baari Syarah Bukhari)
Perbuatan menyebarkan aib orang lain adalah perbuatan yang sangat keji kerana menceroboh hak orang lain tanpa sebenar dan mendatangkan keburukan kepada banyak pihak seperti aib dan sedih pula keluarga dan sahabat handai mangsa yang gambarnya disebarkan.
Orang yang ditimpa kemalangan berada dalam keadaan susah maka dengan menyebarkan gambarnya dalam keadaan aib atau auratnya adalah menambahkan kesusahannya. Ini jelas adalah haram. Sepatunya bila melihat kesusahan pada seseorang maka hendaklah diringankan kesusahan itu bukan ditambah lagi kesusahannya.
Menyebarkan gambar aurat mangsa kemalangan atau mangsa dalam rupa yang ngeri adalah sama hukumnya dengan menyakiti dan memalukan mangsa dan kaum keluarganya. Perbuatan ini adalah keji dan haram dan berdosalah pelakunya.
Ibnu Umar r.a. berkata Rasulullah sollallahu alaihi wasallam bersabda:
لَا تُؤْذُوا الْمُسْلِمِينَ وَلَا تُعَيِّرُوهُمْ وَلَا تَتَّبِعُوا عَوْرَاتِهِمْ فَإِنَّهُ مَنْ تَتَبَّعَ عَوْرَةَ أَخِيهِ الْمُسْلِمِ تَتَبَّعَ اللَّهُ عَوْرَتَهُ وَمَنْ تَتَبَّعَ اللَّهُ عَوْرَتَهُ يَفْضَحْهُ وَلَوْ فِي جَوْفِ رَحْلِهِ
Ertinya: “Jangan kamu sekelian menyakiti orang-orang yang beriman dan jangan kamu buat mereka merasa aib. Jangan pula kamu sekelian buka aurat mereka itu maka dari kerana siapa yang membuka aurat saudaranya yang Islam maka Allah akan membuka auratnya pula. Dan barangsiapa yang Allah bukakan auratnya necsaya akan dibukakan walaupun dia berada di dalam rumahnya.” (Hadis riwayat At-Tirmizi)
Akhir sekali Allah menyatakan hanya nerakalah tempat duduk bagi orang-orang yang suka menyebarkan aib manusia dan menunjuk aurat orang lain di dunia.
Firman Allah:
إِنَّ الَّذِينَ يُحِبُّونَ أَنْ تَشِيعَ الْفَاحِشَةُ فِي الَّذِينَ آمَنُوا لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ فِي الدُّنْيَا وَاْلآخِرَةِ
“Sesungguhnya orang-orang yang suka tersebarnya perkara yang tidak elok di kalangan orang-orang beriman maka bagi mereka ini di dunia kejahatan dan di akhirat nanti azab yang sangat pedih.“ (An-Nuur: 19)
Wallahua’lam – HARAKAHDAILY 1/10/2024
Artikel ini diambil daripada laman Facebook Ustaz Azhar Idrus.
Ulasan
Catat Ulasan