RCI Batu Puteh: Saifuddin ibarat Tun M 'orang lemas yang cuba selamat diri'
Oleh Mohd Iskandar Ibrahim dan Farah Marshita Abdul Patah - Disember 12, 2024 @ 11:36am
Saifuddin (kiri) maklumkan keputusan menarik balik permohonan semakan dan tafsiran Batu Puteh ketika pentadbiran Mahathir dibuat sebelum mesyuarat Kabinet berlangsung pada 23 Mei 2018.
PUTRAJAYA: Keputusan untuk menarik balik permohonan semakan dan tafsiran Batu Puteh ketika pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri dibuat sebelum mesyuarat Kabinet berlangsung pada 23 Mei 2018.
Mendedahkan perkara itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata keputusan itu sama seperti yang dikemukakan dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.
Sehubungan itu, beliau selaku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) pada 2018, menyifatkan bekas Perdana Menteri itu ibarat orang lemas yang cuba menyelamatkan diri.
"Perkara itu sudah ada keputusan. Kita rujuk kepada turutan fakta seperti mana dalam laporan RCI (bahawa) belum ada mesyuarat Kabinet, satu surat sudah dikeluarkan oleh Tun (Dr Mahathir).
"Jadi ini adalah percubaannya untuk mengheret (anggota Kabinet) macam orang lemas. Orang lemas ini kayu buruk pun dia capai," katanya pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini, hari ini.
Kelmarin Mahathir memaklumkan sedia berdepan sebarang siasatan jenayah susulan hasil Laporan RCI itu dengan mendakwa hasil laporan berkenaan adalah bersifat politik untuk memusnahkan imejnya kerana hanya beliau seorang yang dipertanggungjawabkan.
Beliau juga sekali lagi menegaskan keputusan berhubung Batu Puteh dibuat secara bersama oleh Kabinet ketika itu.
Sementara itu, tiga pemimpin kanan Pakatan Harapan (PH) hari ini turut menegaskan Mahathir membuat keputusan sendiri berhubung pengguguran rayuan bagi tuntutan Batu Puteh.
Tiga anggota Kabinet Mahathir sahkan keputusan tak rujuk Kabinet
Dalam kenyataan bersama, Datuk Seri Dr Wan Azizah, Mohamad Sabu dan Anthony Loke berkata Mahathir hanya memaklumkan kepada Kabinet selepas keputusan itu dibuat.
Ketiga-tiga mereka adalah anggota kabinet PH ketika itu dengan Wan Azizah adalah Timbalan Perdana Menteri, manakala Mohamad selaku Menteri Pertahanan dan Loke pula menerajui Kementerian Pengangkutan.
"Ingin kami tegaskan bahawa keputusan untuk tidak meneruskan semakan dan tafsiran sudah dibuat pada 21 Mei 2018 oleh Mahathir sendiri secara bertulis kepada Peguam Cara Negara tanpa merujuk kepada Jemaah Menteri dan juga turut dimaklumkan kepada pihak Singapura pada pagi 23 Mei 2018 sebelum mesyuarat Kabinet pertama diadakan.
"Selang dua hari kemudian, selepas keputusan dibuat, barulah Mahathir memaklumkan Jemaah Menteri dalam mesyuarat Kabinet. Ingin kami tekankan di sini, ianya hanyalah 'pemakluman' di bawah agenda 'Hal-hal lain' dan bukannya perbincangan untuk menentukan keputusan," katanya.
Sehubungan itu, tegas mereka tidak wujud isu sama ada sesiapa membantah atau menyokong kerana ruang untuk membuat keputusan sudah hilang apabila ia dibuat secara bertulis oleh Dr Mahathir.
"Sebagai negarawan, kami berpandangan Mahathir sepatutnya mengambil tanggungjawab sepenuhnya di atas keputusan ini dan bukannya memilih untuk meletakkan di bahu mereka yang tidak terbabit.
"Kami yakin dan percaya anggota Jemaah Menteri yang hadir dalam Mesyuarat Kabinet pada 23 Mei 2018 boleh mengesahkan perkara ini," katanya.
Ulasan
Catat Ulasan