Sebat di khalayak: Pengkritik dangkal mengenai syariah
December 26, 2024
KUALA LUMPUR: Dewan Muslimat PAS Malaysia menyambut baik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menempatkan kira-kira 40 pegawai dan anggota di Masjid Al-Muktafi Billah Shah bagi mengawal keselamatan dan kelancaran proses hukuman sebat ke atas seorang pesalah khalwat berulang.
Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Nuridah Mohd Salleh berkata, kerjasama pihak berautoriti dalam melaksanakan perintah Mahkamah Syariah adalah tindakan yang tepat dan menunjukkan penghormatan terhadap undang-undang.
“Merujuk penjelasan Bayan Linnas Siri ke-104 mengenai hukuman sebat di khalayak menyatakan bahawa ‘hukuman sebat bukanlah diturunkan semata-mata untuk menyakitkan, akan tetapi manfaat yang lebih dari itu ia mampu mencegah si pelaku dari terus melakukan perbuatan tersebut.
“Bahkan, jika undang-undang ini mula dilaksanakan, kita patut berharap agar tiada seorang pun yang dijatuhi hukuman ini kerana masyarakat sedar kesan buruknya bagi kehidupan mereka di dunia dan di akhirat.
“Oleh sebab itu, kami berasa hairan dengan sebahagian pihak yang menuduh sebatan syarak sebagai kejam, menghina dan tidak berperikemanusiaan.
“Sebaliknya diam daripada mengkritik sebatan sivil yang lebih mencederakan, menghina dan memalukan kerana mendedahkan aurat dan alat sulit serta lebih kejam,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Nuridah meyakini kritikan terhadap pelaksanaan perintah mahkamah yang telah diputuskan melalui pertimbangan perundangan teliti hanyalah menunjukkan kedangkalan pengetahuan terhadap undang-undang syariah.
“Sudah-sudahlah menonjolkan sikap Islamophobia keterlaluan di dalam negara majoriti rakyat beragama Islam, dan perundangan syariahnya sudah berjalan semenjak sebelum Merdeka.
“Kedaulatan undang-undang dalam Rukun Negara bukan hanya merujuk undang-undang sivil malah undang-undang syariah,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/12/2024
Ulasan
Catat Ulasan