Apabila semua isu dipolitikkan, negara huru-hara



Apabila semua isu dipolitikkan, negara huru-hara
Oleh Aznan Bakar
5 Januari 2025, 7:20 am

BARU-BARU ini terdapat satu kes di Masjid At-Taqwa Taman Tun Dr. Ismail, di mana seorang lelaki bukan Islam masuk dan mengamuk serta merosakkan harta benda dalam masjid. Polis mengesahkan lelaki itu mengalami masalah mental. Malah keluarga lelaki tersebut juga turut meminta maaf kepada pihak pengurusan masjid.

Jika berfikir guna akal logik, kita semua pasti tahu bahawa di negara kita tidak akan ada individu normal yang akan berbuat demikian dalam mana-mana rumah ibadat di negara ini sama ada ia masjid, kuil, tokong atau gereja.

Mereka yang berbuat demikian sama ada menghadapi masalah mental atau yang terpengaruh dengan ideologi ekstremis. Pun begitu, jika ikuti komen-komen mengenai kejadian itu di media sosial, terdapat pengikut-pengikut sebuah parti politik yang menulis ‘Islam terancam’.

Bayangkan jika kenyataan seperti ini disebar dan dikongsi tanpa diketahui hujung pangkal kejadian? Sudah tentu akan menimbulkan syak wasangka atau tindak balas lebih serius yang akan memudaratkan negara dan kita semua.

Kadang-kadang disebabkan politik, kita semua seolah-olah tidak boleh berfikir dengan waras. Asalkan boleh digunakan untuk mendapatkan manfaat politik, kita akan tunggang apa saja isu. Janji, ia dapat memberi imej buruk kepada pihak lawan tanpa memikirkan kesan kepada masyarakat dan negara.

Lihatlah sekeliling kita. Apa isu yang tidak dipolitikkan? Semuanya dipolitikkan termasuk kaum dan agama.


Sedangkan kalau kita tengok kepada komuniti politik di negara kita, semua pihak pernah bekerjasama antara satu sama lain. Ketika berpeluk cium, ada nas yang membenarkan. Selepas berpisah, keluar pula nas yang tidak membenarkan. Kenapa wujud ketetapan dan pendirian yang berubah-ubah? Kerana kepentingan politik dan kuasa.

Sepatutnya berpolitiklah secara bijaksana tanpa memberikan kesan negatif kepada masyarakat berbilang kaum dan agama di negara kita ini.

Sama juga dengan isu pembebasan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Jika tidak ada kepentingan politik, boleh jamin tidak akan ada satu pemimpin politik pun yang akan turun ke jalanan untuk melakukan bantahan.

Sedangkan proses keadilan untuk Najib sedang berjalan termasuk Lembaga Pengampunan telah mengurangkan hukuman penjara daripada 12 tahun kepada enam tahun dan denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta. Dan titah Adendum yang membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjara di rumah akan didengar di Mahkamah esok.

Proses keadilan sedang berjalan. Kenapa mahu turun ke jalanan? Adakah Najib akan dapat manfaat? Sudah tentu tidak. Yang akan mendapat manfaat daripada protes jalanan ini adalah juak-juak politik yang ada kepentingan tertentu.

Begitu juga dengan buku Becoming Hannah: A Personal Journey. Ia diterbitkan pada tahun 2014 di mana ada parti Melayu yang bekerjasama dengan DAP ketika buku itu diterbitkan. Kenapa selepas lebih 10 tahun isu buku ini dibangkitkan? Tidakkah kerana untuk tujuan politik?

Oleh itu, kita meminta para pemimpin tidak kira dari parti mana supaya berpada-pada ketika berpolitik. Jangan sampai segala benda mahu dipolitikkan hingga negara huru-hara dan rakyat merana.

Aznan Bakar adalah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia

Ulasan