![](https://assets.bharian.com.my/images/articles/mari24_251124n01-1_1736118308.jpg)
Mungkin akan ada lagi bot PATI Myanmar masuk perairan negara - Maritim Malaysia
Oleh Tuty Haryanti Ahmad Rodzi - Januari 6, 2025 @ 7:05am
KUALA LUMPUR: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) tidak menolak kemungkinan akan ada lagi bot pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Myanmar memasuki perairan negara ini.![](https://platform-cdn.sharethis.com/img/twitter.svg)
Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah, berkata berdasarkan hasil soal siasat pihaknya terhadap beberapa PATI dipercayai tekong dan kru bot sebelum ini, terdapat tiga bot berkenaan berlepas dari Sittwe, Myanmar, sejak 24 Disember lalu.
"Namun, kita tidak menolak kemungkinan akan ada lagi bot membawa PATI Myanmar berikutan faktor siklon angin bermula Disember lalu hingga Mac depan yang merupakan tempoh sesuai untuk mereka belayar ke Malaysia atau negara sekitar.
"Oleh itu, Maritim Malaysia mengaktifkan OP GUARD 4.0 membabitkan operasi bersepadu bersama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Pasukan Polis Maritim (PPM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) bagi mengekang kemasukan PATI Myanmar.
"Maritim Malaysia telah mengatur aset, termasuk aset udara, ke lokasi dan 'hotspot' terbabit," katanya kepada BH.
Mohd Rosli memaklumkan aset Maritim Malaysia, KM TENGGOL, telah menahan dua bot pada jam 4.15 petang Jumaat lalu yang dipercayai membawa anggaran 240 PATI etnik Rohingya terdiri daripada lelaki, wanita dan kanak-kanak di sekitar 2.7 batu nautika barat daya Pulau Rebak, Langkawi.
Beliau berkata, pihaknya telah mengiringi bot berkenaan ke sempadan perairan negara sebelum mengusirnya keluar.
"Aset Maritim Malaysia juga kekal di posisi pengusiran bagi memastikan dua bot membawa PATI Myanmar itu tidak berpatah balik ke Malaysia.
"Setakat ini, tiada maklumat berkaitan kemasukan baharu PATI terbabit, namun pengawasan terus dilakukan pihak Maritim Malaysia bersama bantuan pasukan sahabat melalui OP GUARD 4.0," katanya.
Malah, beliau berkata, pengawasan di perairan sempadan Malaysia menggunakan aset laut, udara dan bantuan radar turut diperketatkan, manakala pengumpulan maklumat risikan cubaan pencerobohan terus dipergiatkan.
Selain itu, katanya, kerjasama rapat dan perkongsian maklumat dengan pihak 'counterpart' di Thailand dan Indonesia juga dipertingkatkan.
Ditanya dari mana PATI berkenaan datang pula, Mohd Rosli berkata, kebanyakan kes PATI Myanmar etnik Rohingya adalah penduduk melarikan diri dari Rakhine di Myanmar dan ada juga yang datang dari kem pelarian Cox's Bazar di Bangladesh.
Sehubungan itu, katanya, pemantauan petugas di Sistem Pengawasan Laut Malaysia (SWASLA) juga dipertingkatkan.
Beliau berkata, ia bagi mengawasi serta mengesan pergerakan bot atau kapal yang mencurigakan di perairan negara pada setiap masa, sekali gus mengambil tindakan sewajarnya.
Jumaat lalu, media melaporkan bot membawa 196 etnik Rohingya mendarat di Pantai Awam Teluk Yu, Langkawi, pada jam 3.25 pagi sebelum semua pelarian terbabit ditahan pihak berkuasa.
Ulasan
Catat Ulasan