Siasat Ahli Lembaga Pengampunan sembunyi fakta


Siasat Ahli Lembaga Pengampunan sembunyi fakta

Titah Adendum
January 8, 2025

KUALA LUMPUR: Aktivis politik, Badrul Hisham Shaharin mendesak agar siasatan dilakukan terhadap Ahli Lembaga Pengampunan yang disyaki terlibat menyembunyikan fakta sebenar Titah Adendum Dato’ Sri Najib Razak.

Menurut beliau, Perkara 42 (1) dan (2) Perlembagaan Negara adalah kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong untuk memberi pengampunan kepada sesiapa sahaja.

“Semua tahu berdasarkan Perkara 42 (1) dan (2) Perlembagaan Negara adalah menjadi kuasa prerogatif baginda dalam memberi pengampunan sama ada kurang hukum, elak hukum, lega hukum apa-apa kesalahan yang diputuskan oleh Mahkamah dalam Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

“Perkara 42 Perlembagaan ini ialah hak dan termasuk dalam kedaulatan Yang di-Pertuan Agong. Mahkamah juga memutuskan bahawa titah itu memang wujud. Bukan persoalan nak bela Najib atau sesiapa.

“Namun, ini bermaksud pihak kerajaan dengan sengaja menyembunyikan titah baginda bagi tidak melaksanakan hak yang dijamin Perlembagaan,” katanya dalam satu laporan polis yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, di sini,hari ini.

Dalam laporan polis yang dibuat itu, beliau menamakan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan mantan Peguam Negara, Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh serta Menteri Wilayah Persekutuan, Dr Zaliha Mustafa sebagai individu yang bertanggungjawab.

Selain itu, beliau turut menamakan Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Dato’ Sri Azalina Othman dan Menteri Dalam Negeri, Senator Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Tambah beliau, hukuman bagi mereka yang terlibat dalam menyembunyikan atau tidak mematuhi titah Yang di-Pertuan Agong boleh dikaitkan dengan dua aspek utama, iaitu Seksyen 121 Kanun Keseksaan dan Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan.

“Seksyen 121 Kanun Keseksaan menjelaskan bahawa sesiapa yang terlibat dalam pengkhianatan terhadap negara, seperti sengaja khianat titah Yang di-Pertuan Agong yang dijamin Perlembagaan.

“Pengkhianatan ini melibatkan tindakan yang boleh menggugat kestabilan kerajaan atau keselamatan negara, yang mungkin termasuk usaha menyembunyikan atau mengabaikan titah Yang di-Pertuan Agong jika ia melibatkan konspirasi atau perbuatan yang dianggap menggugat kedaulatan negara.

“Individu yang menyembunyikan atau tidak mematuhi titah Yang di-Pertuan Agong yang berkaitan dengan tugas Perlembagaan, mereka boleh dianggap telah melanggar prinsip raja berperlembagaan dan undang-undang negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/1/2025

Ulasan