Fitnah politik bukan sekadar parti tetapi individu



Fitnah politik bukan sekadar parti tetapi individu
February 24, 2025

KUALA LUMPUR: Isu fitnah dalam politik bukan sekadar membabitkan parti tertentu, tetapi lebih kepada individu yang terlibat.

Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) mengemukakan beberapa contoh kes saman fitnah yang melibatkan pemimpin politik daripada pelbagai parti.

“Setujukah menteri bahawa dalam soal fitnah ini ia bukan membabitkan soal parti tetapi individu? Sebab saya juga boleh bagi keratan akhbar seperti kes pada 5 Disember 2017, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail perlu membayar RM2 juta kepada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).

“Begitu juga pada 26 Julai 2017, Rafizi Ramli memohon sumbangan untuk membayar saman RM300,000 National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC), dan pada 11 Oktober 2023, Tony Pua dan Yeo Bee Yin menarik balik rayuan dalam kes saman fitnah di pemimpim MCA.

“Jadi soal fitnah dan juga perkara tidak betul ini bukan soal parti tetapi soal individu tadi,” katanya ketika mencelah penggulungan perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja oleh Menteri Komunikasi, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Fahmi turut mengakui bahawa isu fitnah sememangnya merentasi parti politik dan terdapat pemimpin tertentu yang lebih kerap terlibat dalam kes saman fitnah.

“Tak boleh dinafikan ada sejumlah pemimpin daripada parti tertentu yang kalau kita tengok apa yang dikumpulkan maklumatnya memang kerap menjadi pembayar denda dalam isu fitnah ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/2/2025

Ulasan