Beri ruang Rafizi, Saifuddin bertanding timb presiden - Pemimpin PKR T'ganu


Berita
Beri ruang Rafizi, Saifuddin bertanding timb presiden - Pemimpin PKR T'ganu
Diterbitkan: Apr 23, 2025 6:56 PM

Seorang pemimpin kanan PKR Terengganu menyifatkan keputusan pemilihan di peringkat cabang sebagai isyarat jelas akar umbi untuk membuka saingan bagi jawatan timbalan presiden parti yang kini disandang Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

Ini ketika Majlis Pimpinan Pusat PKR bermesyuarat di Putrajaya hari ini bagi membincangkan pelbagai isu, termasuk fenomena 'badan tanpa kepala' yang menyaksikan ramai ketua cabang tewas dalam pemilihan baru-baru ini.

Ketua Cabang PKR Kuala Terengganu, Azan Ismail (gambar bawah) berkata keputusan lebih 200 cabang PKR di seluruh negara itu menunjukkan hasrat agar semua jawatan tertinggi dipertandingkan — kecuali presiden yang kini disandang Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

"Nampak di peringkat cabang ada kehendak untuk buka pertandingan timbalan presiden. Timbalan presiden tak ada kedudukan macam presiden (selaku perdana menteri).


"Untuk memeriahkan demokrasi peringkat tertinggi, cukup lah presiden sahaja tak bertanding.

“Kita dapat lihat di peringkat cabang, ada kehendak untuk membuka pertandingan bagi jawatan timbalan presiden,” katanya kepada Malaysiakini.

Bekas ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR itu menjelaskan pengecualian bagi jawatan presiden wajar kerana melibatkan persepsi kemungkinan “penyalahgunaan jentera kerajaan” untuk berkempen, memandangkan tidak munasabah untuk menjangka seorang perdana menteri menghentikan tugas rasmi sepanjang tempoh pemilihan.

"Saya rasa semua ahli setuju kalau jawatan presiden dipertandingkan, jentera kerajaan akan terheret sama.

"Tapi tidak untuk timbalan presiden," kata Azan lagi.

Setakat ini, tiada mana-mana individu tampil menyatakan hasrat untuk mencabar Rafizi bagi jawatan nombor dua dalam parti.

Semalam, Setiausaha Agung PH, Saifuddin Nasution Ismail menggesa semua pihak menghentikan spekulasi dia akan mencabar Rafizi berdasarkan keputusan di peringkat cabang.

Saifuddin turut mendedahkan dia baru-baru ini telah mengadakan pertemuan tertutup dengan Rafizi bagi membincangkan peranan masing-masing dalam usaha memperkukuh parti.

Cerminan sentimen akar umbi

Menurut Azan, keputusan di peringkat cabang boleh dilihat sebagai “refleksi” terhadap sentimen akar umbi terhadap beberapa pemimpin kanan parti, menjelang pemilihan peringkat pusat yang akan diadakan pada 24 Mei.

"Rasa ada baik pimpinan cabang (PKR) patut menganalisa siapa pimpinan kuat bawa PKR ke tahap berikutnya,” katanya, sambil menekankan matlamat utama untuk mempersiapkan parti menghadapi pilihan raya negeri dan umum akan datang.

Beberapa individu yang tewas dalam pemilihan cabang dilihat sebagai sekutu Rafizi, namun terdapat juga kekalahan dalam kalangan tokoh yang dikaitkan dengan “kem lain” dalam parti.

Keputusan ini telah mencetuskan dakwaan mengenai ketidakteraturan dalam proses pemilihan, khususnya melibatkan sistem e-undi PKR.

Bagaimanapun, Azan menyifatkan keseluruhan proses pemilihan cabang PKR sebagai “kemuncak demokrasi” yang mencerminkan aspirasi semasa ahli parti.

E-undi beri kebebasan, hasil lebih beragam

Azan turut mengaitkan “kepelbagaian keputusan” dengan penggunaan sistem e-undi yang menurutnya memberi lebih banyak masa dan kebebasan kepada ahli untuk membuat pilihan.

“Dulu ahli kena beratur untuk undi fizikal (masa mereka terhad beberapa minit sahaja).

“Sekarang e-undi, mereka ada banyak masa untuk berfikir, siapa yang hendak dipilih, siapa yang nak diundi.

"(Jadi) keputusan akhir tidak semestinya mengikut ‘cai’,” katanya merujuk kepada senarai calon dalam sesebuah pasukan pimpinan yang bertanding pemilihan parti.

Tambahnya, apabila tiada tekanan masa, ahli lebih cenderung membuat pilihan berdasarkan penilaian sendiri dan bukan sekadar ikut telunjuk kem atau calon ketua cabang.

Sebelum ini, Najib Bakar, pegawai khas Rafizi, mendakwa sistem e-undi mungkin telah dimanipulasi apabila berlaku fenomena “badan tanpa kepala” — apabila calon ketua cabang tewas, tetapi majoriti anggota pasukannya menang.

Sokong Saifuddin bertanding, mahu saingan sihat

Sementara itu, Azan menyuarakan sokongan kepada Saifuddin untuk bertanding jawatan timbalan presiden PKR dan percaya perbincangan antara kedua-dua pemimpin itu tertumpu kepada janji untuk pertandingan sihat dan usaha menyatukan semula ahli selepas pemilihan.

"Saya rasa perbincangan lebih kepada mereka berikrar supaya menjaga penyokong masing-masing supaya tidak berpecah. Selepas habis (pemilihan), seruan untuk merapatkan saf semula akan dibuat,” katanya.

Azan menyifatkan Rafizi dan Saifuddin sebagai pemimpin berpengalaman yang mempunyai pandangan jauh untuk bertindak demi kepentingan parti.

“Kalau kita bersetuju beri peluang pada dua (pemimpin PKR ini) bertanding, saya rasa kita akan keluar sebagai parti yang mantap,” kata Azan menepis spekulasi mengenai kewujudan “calon ketiga” bagi jawatan timbalan presiden PKR itu.

Bagi pemilihan pusat PKR yang akan datang, parti akan menggunakan semula sistem perwakilan.

Seramai kira-kira 30,000 perwakilan dari 222 cabang seluruh negara akan mengundi bagi memilih 20 ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) serta enam jawatan tertinggi parti, iaitu presiden, timbalan presiden dan empat naib presiden.

Ulasan