PULAU BATU PUTEH : FOKUSLAH KEPADA MENCARI JALAN PENYELESAIAN, BUKANNYA SIAPA YANG BERSALAH
Muqaddimah
Tahun 2008 adalah merupakan detik hitam negara kita apabila dengan dengan rasminya telah kehilangan Pulau Batu Puteh (PBP) kepada Singapura setelah hampir 30 tahun kedua-dua negera sailing menuntut hak dan mendakwa bahawa Pulau kecil tersebut adalah merupakan hak masing-masing.
Agak menyedihkan kerana pulau yang sebesar padang bolasepak itu telah lebih dekat kedudukannya dengan negara kita akhirnya terlepas setelah ICJ membuat keputusan berdasarkan kepada dokumen-dikumen yang dimiliki dan dikemukakan oleh Singapura pada ketika itu lebih berpihak kepada mereka.
Sesungguhnya ia adalah merupakan satu keputusan yang sukar untuk diterima pada peringkat awalnya, namun begitu satu Jawatankuasa bersama telah ditubuhkan di antara Kerajaan Malaysia dengan Singapura iaitu "Malaysia-Singapore Joint Technical Committee (MSJTC) on the Implementation of the International Court of Justice on Pedra Branca, Middle Rock and South Ledge” sebagai tanda kedua-dua negara saling menghormati keputusan yang telah dibuat oleh ICJ.
Pendirian Terhadap Isu Pulau Batu Puteh
Dalam menyatakan sikap saya terhadap perkara ini, saya mula bercakap tentang isu ini sejak dari awal lagi negara kita kehilangan PBP.
Ia terkandung di dalam Ucaptama Ketua DPPNJ pada 12 Julai 2008 yang bertajuk “Pemuda Bergerak Kehadapan”;
“Belum selesai kita memperjuangkan nasib dan masa depan tanah dan masa depan Melayu di Johor hasil daripada pembangunan Iskandar Malaysia atau pun dikenali sebagai Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) sebelum daripada ini, tiba-tiba kita dikejutkan dengan terlepasnya hak kedaulatan kita ke atas Pulau Batu Puteh yang mana sekarang ni Pulau Batu Puteh telahpun terlepas kepada Singapura. Kekesalan ini bukan hanya dirasai oleh seluruh rakyat di Johor tetapi juga dirintihi oleh Sultan Negeri Johor dan dizahirkan ketika ucapan perasmian sidang Dewan Undangan Negeri Johor pada 19 Jun 2008 yang lalu”
Saya telah melahirkan rasa keterkilanan dan kekecewaan yang amat sangat apabila kerajaan telah membuat keputusan menarik balik semakan semula yang sebelum itu telah dibuat pada 2 Februari 2017. Satu komentar panjang telah saya keluarkan pada 10 Jun 2018 bagi menyatakan sikap saya yang melihat bahawa panarikan semakan kehakiman ini akan merugikan masa hadapan negara;
Saya juga ada menyentuh tentang isu PBP ini di dalam Wacana Sinar Harian yang dianjurkan oleh Sinar Harian pada tahun 2020;
Pada 27 Jun 2022, saya telah memberikan sokongan kepada kenyataan yang telah dibuat oleh Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi supaya pengkhianat yang mengakibatkan negara kehilangan hak dan kedaulatan terhadap PBP dikenakan tindakan undang-undang yang tegas.
Saya telah membuat ulasan bahawa penubuhan RCI dalam isu PBP, Batuan Tengah dan Tubir Selatan adalah merupakan sesuatu yang sangat dinanti-nantikan bagi mereka yang terus memperjuangkan supaya kedaulatannya akan kembali kepada negara kita semula. Saya kekal konsisten menegaskan supaya kerajaan hendaklah meneruskan usaha mengembalikan Pulau Batu Puteh menjadi hak milik semula negara.
Usaha semakan semula diteruskan di bawah kepimpan Datuk Seri Ismail Sabri
Di bawah kerajaan yang dipimpin oleh Datuk Seri Ismail Sabri, satu pasukan khas yang terdiri seramai 11 individu terlibat dalam semakan semula undang-undang berhubung tuntutan PBP, Batuan Tengah dan Tubir Selatan yang dipengerusikan oleh Tan Sri Mohamed Apandi Ali. Saya telah membuat komentar ringkas dengan mengajak semua masyarakat Malaysia supaya mendoakan yang terbaik untuk pasukan semakan ini dan mudah-mudahan PBP akan kembali menjadi milik Malaysia.
Satu ulasan saya terhadap keputusan terbaru kerajaan ini, terhadap usaha untuk mengembalikan PBP kepada Malaysia setelah kerajaan memutuskan untuk membuat semakan semula isu ini kerana bagi saya, jika berpandukan kepada kenyataan mantan Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali bahawa terdapat fakta baharu yang telah diperoleh kerajaan untuk membuat semakan semula berhubung keputusan ICJ adalah merupakan satu ‘modal’ yang perlu diambil peluang.
Kenapa RCI ditubuhkan
Penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk mengkaji pengendalian kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan memanglah sangat dinantikan oleh banyak pihak dengan hasrat yang berbeza-beza. Sebagai rakyat Malaysia yang terus memperjuangkan supaya kedaulatannya akan kembali kepada negara kita semula, saya secara konsisten menegaskan bahawa kerajaan perlu untuk meneruskan usaha mengembalikan Pulau Batu Puteh menjadi hak milik semula negara dan lebih memusatkan perhatian saya terhadap mengembalikan kedaulatan PBP untuk dikembalikan kepada Malaysia.
Tanpa menafikan bahawa hasrat untuk melihat mereka yang bersalah dalam menarik kembali semakan kehakiman pada tahun 2018, tujuan yang lebih penting adalah bagaimana kerajaan dapat mengusahakan langkah yang lebih proaktif untuk menyelamatkan PBP memandangkan pada tahun 2021, usaha telahpun dimulakan.
Saya bersetuju dengan pandangan yang pernah disebut oleh Dr Mohd Hazmi Mohd Rusli, Pensyarah Undang-undang dan Syariah, Fakulti Undang-undang dan Syariah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang mahukan kerajaan lebih memberi tumpuan kepada penyelesaian pertikaian maritim sekitar Batu Puteh, Batuan Tengah dan menentukan milikan Batuan Selatan yang didakwa ada kaitan dengan penurunan air surut di bawah Artikel 13 Konvensyen Undang-undang Laut. Dr Mohd Hazmi percaya jika PCI ditubuhkan untuk menyelesaikan pertikaian maritim dalam kawasan yang dimiliki Singapura, Malaysia dan Indonesia, termasuk Pulau Bintan, maka ia boleh menjadi usaha yang positif.
Namun begitu, apa yang difokuskan dalam laporan RCI setebal 217 muka surat yang diedarkan kepada Ahli Parlimen di Dewan Rakyat baru-baru ini adalah pengesyoran supaya siasatan jenayah boleh dimulakan terhadap Tun Dr Mahathir.
Tun Dr Mahatir mulakan langkah mempertahankan diri
Semalam, Tun Dr Mahathir melalui lama media maya telah menjawab dan menghuraikan persoalan berpandukan kepada laporan RCI yang telah dibentangkan di Parlimen minggu lalu;
Dr Mahathir memulakan penulisannya dengan ayat ini; “Saya berasa hairan dengan kerajaan hari ini dan tindakannya yang pelik” sebagai gambaran awal terhadap persoalan yang beliau kemukakan dalam keraguaannya terhadap kerajaan dan RCI yang diterbitkan.
Keberanian dan kesediaan Dr Mahathir untuk berhadapan dengan apa jua perbicaraan sudah boleh kita jangkakan kerana itu adalah sikap beliau yang kita kenali. Namun dengan hanya meletakkan Dr Mahatihr sahaja yang bersalah melalui laporan RCI ini dilihat akan menjerat diri kerana Dr Mahathir turut menyebut bahawa TPM, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail yang duduk di sebelahnya dalam mesyuarat Kabinet tidak pun membantah dengan keputusan yang telah dibuat. Begitu juga dengan anggota kabinet yang lain yang turut bersetuju dengan cadangan yang dikemukakan oleh Dr Mahathir.
Penutup
Kembimbangan saya ketika ini, laporan RCI ini akan lebih menumpukan kepada perbicaraan siapa yang bersalah dan siapa yang akan dikenakan tindakan di atas kesalahannya. Saya tidaklah bimbang dengan dengan kesediaan Dr Mahathir untuk berhadapan dengan situasi ini tetapi saya lebih bimbang ia hanyalah menjurus kepada dendam terhadap individu sahaja. Sebab itu, tidaklah pelik apabila Dr Mahathir mendakwa RCI Batu Puteh ini bermotifkan politik semata-mata dan mahu merosakkan reputasinya.
Persoalan yang ingin ditanya; Tidak adakah yang ingin bertanya, apakah perkembangan usaha yang dilakukan semula pada tahun 2021 untuk semakan semula isu ini? Tidak mahukah kita tahu apakah hasil yang telah diperolehi?
Ketepikan emosi dan perasaan, lebih-lebih tekanan politik. Jangan bawa rakyat kearah mencari siapa yang bersalah tetapi binalah jiwa rakyat untuk bersatu memperjuangkan PBP yang telah terlepas dari genggaman kita. Ini adalah persoalan maruah dan kedaulatan negara yang kita sama-sama cintai.
Fokuslah kepada mencari jalan penyelesaian, bukannya mencari siapa yang bersalah.
Sekian.
Khairul Faizi bin Ahmad Kamil, KMN
Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur
11 Disember 2024
Ulasan
Catat Ulasan